Qabil Ambak terpaksa lepaskan Qalisha

Oleh Muzaffar Musa 19 Oktober 2020 1465
Qabil Ambak terpaksa lepaskan Qalisha
Hubungan yang terjalin di antara Qabil Ambak Mahamad Fathil dan kudanya, Qalisha, akhirnya menemui titik noktah.

Ekuin negara itu terpaksa melepaskan kuda kesayangannya itu dengan nilai sekitar RM800,000, sekali gus memutuskan ikatan yang menyaksikan mereka meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan pingat perak Sukan Asia Indonesia 2018.

Qabil Ambak menjual Qalisha minggu lalu bagi mengurangkan tanggungan kos  sebanyak RM5,000 sebulan.

Keputusan itu terpaksa diambil ekoran ketiadaan kejohanan antarabangsa dan dia hanya diletakkan sebagai ekuin simpanan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Jadi, Qabil Ambak terpaksa melepaskan Qalisha yang menjadi faktor kejayaannya sejak 2016.

"Saya tidak terfikir untuk menjualnya kerana saya ingat mungkin saya dapat menyimpannya untuk Sukan Asia yang akan datang tetapi oleh kerana tempohnya masih lama dan keadaan sekarang, saya mengambil keputusan untuk menjualnya kerana kos yang agak tinggi," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya rasa dia kini berada dalam umur terbaik untuk bertanding dan daripada segi prestasinya, dia sedang berada di kemuncak.

"Jadi inilah masanya yang saya rasa patut untuk menjualnya.

"Momen terbesar saya bersamanya adalah dalam Sukan Asia. Ketika dia sampai, dia dalam keadaan tempang dan hampir tidak dapat berjalan.

"Tetapi saya menjaganya dengan baik untuk memberikannya semangat untuk pulih dan terus bertanding.

"Hanya dalam dua atau tiga hari dia sudah pulih, itulah sesuatu yang agak mengejutkan saya.

"Kerana dia tahu saya bersemangat untuk bertanding, mungkin dia juga melakukan segala-galanya untuk pulih secepat mungkin dan bertanding.

"Saya fikir Qalisya akan memberikan yang terbaik buat penunggang barunya nanti dan saya fikir penunggang barunya itu akan menikmati setiap kejohanan bersamanya.

"Harap-harap saya dapat melihatnya memenangi lebih banyak pingat bersama penunggang barunya," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen