Pemanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad, tidak akan berhenti untuk memburu kejohanan yang boleh disertai sebagai penutup tahun 2018 selepas hasrat untuk ke Kejohanan Memanah Asia Tenggara di Myanmar awal bulan ini tidak kesampaian.

Hanya tiga kejohanan di luar negara buat skuad memanah tahun ini dan ia ternyata belum memberi kepuasan kepada Khairul Anuar dengan kali terakhir beraksi dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Selepas tidak dihantar menyertai Kejohanan Asia Tenggara awal bulan ini, Khairul bertekad mencari jalan dalam memastikan momentum dalam kejohanan diteruskan walaupun bukan bertaraf antarabangsa.

Salah satunya adalah Kejohanan Terbuka Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bermula esok.

"Memang kurang kejohanan dan itu pun termasuk Sukan SEA. Sebelum itu, saya cuma ada dua kejohanan untuk dijadikan persiapan. Jadi, kami juga cuba mencari kejohanan seperti dalam saingan Terbuka UPM esok," katanya.

Apa yang pasti, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu berharap persediaan sepanjang tahun 2019 akan lebih aggresif dengan keutamaan diberi kepada persiapan Kejohanan Dunia di Belanda yang menjadi kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020.

"Memang sejak sekarang, kami berlatih seperti biasa dan memperbaiki mana-mana bahagian yang lemah. Untuk tahun depan, kami akan berdepan kelayakan Olimpik, jadi memang kami telah memulakan usaha."