Stefanos Tsitsipas tidak dapat menjelaskan bagaimana dia meningkatkan mutu permainan ke tahap lebih tinggi dalam set kedua ketika bertemu Dominic Thiem sebelum menjuarai Pusingan Akhir ATP.

Pemain berusia 21 tahun itu menjadi juara pertama dari Greece dalam kejohanan terakhir musim ini, menewaskan Thiem 6-7 (6-8), 6-2, 7-6 (7-4) dalam aksi yang berlangsung di Arena O2, awal pagi tadi.

Tsitsipas dan Thiem mempamerkan aksi menarik di London, dengan pilihan keenam kejohanan itu mengetepikan kekecewaan set pertama apabila beraksi cemerlang dalam set kedua.

Naib juara dua kali Terbuka Perancis, Thiem, bangkit daripada ketinggalan 3-1 dalam set penentuan untuk mengheret perlawanan ke tie-break, namun Tsitsipas cemerlang mendahului 4-1 sebelum mengutip tiga lagi mata untuk bergelar juara.

Tsitsipas tidak menafikan ia adalah pencapaian tertinggi sepanjang kariernya, setahun selepas dinobat sebagai juara Next Gen, dan dia tidak dapat menjelaskan keupayaan untuk kembali menyamakan kedudukan dengan penuh bergaya.

"Saya tidak dapat menjelaskan bagaimana saya bermain cemerlang dalam set kedua," kata Tsitsipas, pemenang termuda kejohanan sejak Lleyton Hewitt pada 2001.

"Saya tidak pasti, saya berpendapat saya telah bermain dengan tenang dan tidak memikirkan apa yang telah berlaku dalam set pertama. Saya sangat gembira kerana berjaya mengikat permainan menerusi set kedua.

"Ia agak kecewa bagi saya bermain dengan gementar dalam set penentuan buat kali pertama dalam kejohanan yang besar. Saya mula melakukan kesilapan dan gagal mengawal keadaan.

"Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi tie-break dan saya lega kerana telah menampilkan aksi terbaik di atas gelanggang."