Bekas atlet papan selaju negara menuntut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), untuk meningkatkan taraf kemudahan pusat sukan ekstrem di dalam negara andai serius mahu memastikan ada wakil Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sukan papan selaju atau skateboarding adalah salah satu daripada lima sukan baru yang akan dipertandingkan di Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia kepingin untuk memastikan ada wakil negara daripada sukan ekstrem beraksi dalam temasya itu empat tahun lagi.

Bagi bekas atlet papan selaju negara, Fithry Johary, impian sahaja tidak mencukupi jika tiada usaha serius daripada pihak kementerian dan Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA).

“Malaysia masih kekurangan dari segi kemudahan. Jika kita lihat perkembangan sukan ini di Thailand, mereka membina taman papan luncur yang tidak terlalu kecil dan terlalu besar, kerana ia memudahkan untuk atlet yang baru menceburi sukan ini,” kata Fithry.

Seorang lagi bekas atlet negara, Adlan Farazi Mohd Ariff, juga menyatakan selain memperbanyakkan kejohanan tempatan, satu pelan khas perlu dirangka dalam memastikan atlet papan selaju mendapat latihan secukupnya bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Malaysia perlu melepasi peringkat kelayakan untuk memastikan mereka layak ke Sukan Olimpik," ujar Adlan.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Kejohanan X Games Asia sekitar era tahun 2000.