Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menolak cadangan menghantar lebih ramai peninju ke kelayakan Sukan Olimpik walaupun kali terakhir peninju Malaysia layak ke saingan itu 24 tahun lalu.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan PTAM merancang menghantar Jemise Mong untuk bertanding dalam kategori 52 kilogram dalam kelayakan Olimpik di China.

Bagaimanapun, terdapat aduan daripada peninju negara meminta badan induk itu menghantar lebih ramai wakil untuk menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik bulan depan.

Timbalan Presiden PTAM, Iruan Zulkefli, menjelaskan tindakan untuk tidak menghantar lebih ramai wakil adalah disebabkan peninju negara tidak mencapai taraf saingan berdasarkan prestasi dalam Sukan SEA, tahun lalu.

"Untuk atlet lain, kami melihat mereka belum sampai ke tahap kelayakan Olimpik kerana kami mengambil kira pencapaian ketika Sukan SEA di Filipina. Namun, persatuan sedang menyusun strategi dan latihan untuk kejohanan lain," katanya.

Beliau juga menambah perancangan awal untuk menghantar sandaran utama, Fuad Redzuan, juga tidak kesampaian apabila dia mempunyai hal peribadi yang harus diberi keutamaan.

"Untuk kelayakan di China, sebenarnya persatuan menyasarkan Fuad untuk kategori 49kg tetapi dia terpaksa menghadiri kursus kenaikan pangkat dan gaji selama enam bulan bermula 6 Januari lalu di Lumut, Perak," tambahnya.



Editor: Nafis Abdullah