PTAM intai khidmat jurulatih luar negara

Oleh Bernama 1 Julai 2020 20
PTAM intai khidmat jurulatih luar negara
Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) merancang mengambil jurulatih asing bagi melatih skuad elit kebangsaan untuk menghadapi beberapa kejohanan pada tahun depan.

Pengurus skuad tinju kebangsaan, Mohd Iruan Zulkifli berkata, enam calon dari beberapa negara telah dikenal pasti dan pengumuman rasmi akan dibuat selepas mereka mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kami tidak mahu peristiwa lampau berulang kembali, iaitu jurulatih asing yang dibawa masuk oleh PTAM gagal menghadirkan kejayaan besar untuk skuad kebangsaan.

“Kami telah mengenal pasti beberapa jurulatih dari Kazakhstan, Russia dan Cuba, senarai akhir akan diumumkan dalam tempoh terdekat setelah kami mendapat persetujuan daripada MSN,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Iruan berkata, Azmi Md Yunus yang melatih skuad elit kebangsaan sejak 2017 dijangka menggalas tugas membimbing skuad pelapis.

Pencapaian terbaik Azmi adalah membantu Malaysia meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ditanya mengenai perancangan PTAM, Mohd Iruan mendedahkan bahawa mereka masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan sebelum menganjurkan sebarang pertandingan tempatan pada tahun ini.

“Skuad kebangsaan akan kekal berlatih di negara ini memandangkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara.

“Namun, kami berharap pihak kerajaan dapat memberi lampu hijau untuk kami menganjurkan kejohanan tempatan bagi memastikan petinju kekal cergas, khususnya sempena menghadapi Sukan SEA 2021 di Vietnam,” kata Mohd Iruan.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen