Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sedia mengurangkan hukuman penggantungan dua tahun terhadap Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak selepas tekong negara itu menghantar rayuan.

Penggantungan Syahir dan Zulkifli boleh dikurangkan kepada setahun bergantung kepada Jawatankuasa Rayuan PSM yang akan bersidang Jumaat ini.

Keputusan perlu mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PSM, Ahad ini yang dijangka berpihak kepada kedua-dua tekong berpengalaman itu.

Buat masa ini, PSM berpuas hati dengan tindakan Syahir dan Zulkifli yang sudah mengaku kesalahan, memohon maaf secara terbuka dan menghantar surat rayuan untuk mengurangkan hukuman.

"Kami boleh berkompromi dengan mengurangkan tempoh penggantungan dan saya menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa PSM dalam hal ini," kata Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail.

"Kami sentiasa menerima kehadiran Syahir dan Zulkifli dengan tangan terbuka untuk kembali ke pangkuan skuad negara."

Syahir dan Zulkifli membarisi skuad negara ketika meraih pingat emas acara regu Sukan Asia Indonesia, tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka digugurkan daripada skuad negara ekoran masalah disiplin.

Malah, PSM tidak bercadang menggunakan khidmat mereka dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, berharap PSM dapat mempertimbangkan rayuan Syahir dan Zulkifli untuk kembali memperkuatkan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Talib tidak memberi jaminan untuk menggunakan khidmat dua tonggak itu dalam Sukan SEA Filipina selepas menjalani persiapan rapi tanpa mereka.

"Jalan penyelesaian sudah kelihatan mengenai kemelut di antara Syahir-Zulkifli dan PSM. Saya berharap mereka akan membuat rayuan dalam kadar segera dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan PSM," katanya.