Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju meringankan hukuman penggantungan dua bekas tekong negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, daripada 24 bulan menjadi sembilan bulan sahaja.

Ini bermakna penggantungan Syahir dan Zulkifli akan tamat lebih awal pada 26 Mac 2020 berbanding hukuman digantung selama dua tahun sebelum ini sehingga 26 Jun 2021.

Mesyuarat exco yang dipengerusikan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, hari ini juga bersetuju memberikan kelonggaran untuk mereka beraksi tetapi khusus mewakili majikan masing-masing sahaja, iaitu Syahir bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) manakala Zulkifli yang berkhidmat dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Keputusan itu dibuat majlis exco dengan mempertimbangkan rayuan serta permohonan maaf dibuat kedua-dua bekas tekong negara itu di samping mengambil kira jasa mereka berkhidmat untuk skuad kebangsaan sebelum ini.

"Pada asalnya, penggantungan Syahir dan Zulkifli diturunkan kepada 12 bulan, namun kami cuba memandang jauh dan jika mahu memanggil semula khidmat kedua-dua pemain ini, tiga bulan diperuntukkan untuk mendapatkan tahap kecergasan dan memperbaiki mutu permainan di atas gelanggang. Jadi, penggantungan mereka hanya sembilan bulan," kata Ahmad.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain tersebut perlu menjalani tambahan 15 jam kerja amal membabitkan pembangunan sepak takraw tempatan, yang menjadikan jumlah keseluruhan 45 jam berbanding hukuman asal hanya 30 jam.

"Syahir dan Zulkifli akan mula beraksi bersama majikan masing-masing dan kejohanan yang bakal disertai haruslah bersesuaian dengan mutu permainan mereka," katanya lagi.