Psikologi sukan merupakan suatu perkara yang diberikan perhatian oleh atlet elit negara dan atlet antarabangsa di seluruh dunia, apatah lagi kejayaan seseorang atlet itu tidak bergantung kepada kekuatan fizikal sahaja tetapi mental, emosi dan psikologi memainkan peranan yang penting.

Kita telah melihat kejayaan atlet-atlet negara yang melakar sejarah meraih kejayaan di pentas Olimpik serta Paralimpik, sekaligus ditaburkan habuan yang lumayan sebagai tanda penghargaan mengharumkan nama negara.

Bekas pemain badminton negara, Daphne Ng, yang juga merupakan pemegang ijazah sarjana Sains Sukan dari Universiti Malaya, berkata kekuatan mental untuk mengawal emosi telah membantu atlet-atlet negara meraih kejayaan.

Sebagai contoh, dalam artikel Stadiumastro pada 25 September lalu, atlet Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi, dilaporkan mengalami gangguan oleh pesaingnya dari China dalam acara akhir 100m T36, namun ia tidak menggagalkan Ridzuan untuk meraih pingat emas.

"Dari segi emosi, kebanyakan atlet yang berjaya meraih kejayaan yang menakjubkan, mereka akan berasa lebih bangga. Secara tidak langsung, mereka akan memastikan untuk mempamerkan satu tanggapan yang positif kepada atlet lain.

"Saya melihat pencapaian atlet-atlet di Sukan Olimpik dan Paralimpik sebagai pembakar semangat buat mereka untuk terus mencapai kejayaan yang lebih besar di masa akan dating.

“Tetapi terdapat sebilangan atlet mengambil pencapaian mereka sebagai satu tekanan, jadi atlet-atlet memerlukan pakar psikologi untuk membantu mereka mengawal emosi sebelum dan selepas tamat kejohanan," jelas Daphne dalam temubual oleh Sharon Wee dalam Nadi@1 hari ini.

Tambah Daphne, "Habuan yang diperoleh oleh atlet-atlet ini dapat membantu meningkatkan gaya hidup mereka selepas pengorbanan yang telah mereka lalui.”

Daphne berkata kejayaan yang diperoleh dua penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat perak di Sukan Olimpik meningkatkan lagi semangat serta keyakinan untuk cemerlang di kejohanan akan datang.

"Mereka memberitahu selepas menerima habuan kemenangan di Sukan Olimpik dan Paralimpik, keyakinan diri mereka meningkat serta dapat menstabilkan kewangan mereka, namun masih dahagakan kejayaan di masa akan datang.

"Psikologi merupakan satu aspek sangat penting yang perlu ditekankan oleh jurulatih dan atlet kerana ia merupakan kemahiran yang mampu membantu atlet menghadapi tekanan ketika bertanding."