Pemerhati sukan negara, Haresh Deol, menyifatkan kelonggaran latihan buat atlet di bawah Program Road to Tokyo (RTT) sebagai langkah pertama sebelum sukan kembali rancak.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, antaranya saringan Covid-19, penjarakan sosial selain dikuaratin selama 30 hari di tiga kluster pilihan antara syarat yang perlu dipersetujui seramai 256 individu yang terlibat termasuk atlet.

Atlet perahu layar, Khairulnizam Affendy, misalnya meminta kelonggaran disebabkan Langkawi adalah zon hijau.

"Kita tidak boleh kata tindakan tersebut terlalu tegas kerana ia demi kebaikan atlet, jurulatih, bahagian sokongan mahupun orang ramai.

"Setahu saya, seramai 256 individu yang terlibat dalam program ini telah bersetuju untuk berkampung selama 30 hari.

"Ia seharusnya tidak timbul rungutan, lagipun mereka hanya perlu berkampung selama 30 hari, bukannya 30 tahun.

"Ini satu cabaran buat atlet negara. Saya berasa mereka ingin kembali bergiat aktif," katanya ketika diminta mengulas dalam Nadi Arena sebentar tadi.

Begitupun, masih banyak aspek yang perlu diperhalusi dalam sesetengah jenis sukan tetapi Haresh optimis ia boleh diatasi.

"Ini merupakan satu perkara yang agak menguji.

"Atlet mampu mematuhi penjarakan sosial tetapi bagi sesetengah sukan, mungkin agak sukar.

"Pasti akan ada jalannya tetapi ia akan berbalik kepada SOP yang akan dikemukakan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memastikan ahli-ahli lain yang berada di sekeliling atlet mengguna pakai SOP tersebut.

"Jika ia tidak sesuai, mereka perlu suarakannya untuk diperbaiki

"Pada pandangan saya, ini merupakan titik permulaan sebelum pihak kerajaan memberi kelonggaran kepada sukan dan aktiviti rekreasi yang lain kembali seperti sedia kala.

"Kalau atlet negara dapat menunjukkan dengan pendekatan sepanjang 30 hari ini menjadi, kemudian kita sebagai rakyat biasa boleh beriadah dan bersukan walaupun mungkin tidak seperti dahulu kala, tetapi sekurang-kurangnya dapat menikmati aktiviti sukan."