Pogram latihan Road to Tokyo (RTT), yang akan bermula 1 Jun ini, berdepan ancaman apabila 17 atlet yang terlibat masih belum memberikan persetujuan untuk menyertai program itu, yang sudah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan persidangan video dengan 17 atlet dan jurulatih itu esok.

Usaha sedang dijalankan untuk memujuk 17 individu itu bagi meyakinkan mereka bahawa program latihan RTT selamat untuk disertai.

MSN dan beberapa pegawai Institut Sukan Negara (ISN) akan mengadakan persidangan video itu bagi menerangkan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan yang bakal diambil untuk memastikan kesemua tiga kluster latihan yang disediakan bebas Covid-19.

"Jika mereka tidak mahu berlatih di kem latihan pusat, mereka akan meneruskan latihan di rumah masing-masing dan secara tidak langsung mungkin akan menjejaskan persiapan mereka untuk menghadapi Sukan Olimpik (Tokyo) tahun depan," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefry Ngadirin.

"Kami mahu memulakan latihan lebih awal kerana seperti yang kita sedia maklum, banyak negara sudah memulakan latihan lebih awal secara terkawal di negara masing-masing.

"Jadi, yang kami buat ini adalah sama seperti negara lain," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, menambah: "Ada antara atlet yang mempunyai temu janji perubatan di luar.

"Saya kira perkara ini akan diteliti berdasarkan kes, sama ada atlet memerlukan temu janji perubatan yang lebih awal atau ada perkara yang mendesak, jawatankuasa akan mempertimbangkan perkara ini.

"Apa yang penting adalah komitmen bersama," katanya.

Bagaimanapun, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberikan nada berbeza.

Arahan terhadap 265 individu, yang akan terbabit dengan program latihan RTT, untuk tidak meninggalkan kluster latihan sepanjang tempoh yang ditetapkan merupakan sesuatu yang ekstrem.

"Apa yang saya risau jika mereka melakukan perkara yang sama setiap hari selama 30 hari, ia mungkin akan menjejaskan perkara-perkara lain daripada segi pemikiran, psikologi mereka dan sebagainya," kata Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abd Azim Zabidi.