Timbalan Presiden, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), John Ng Keng Chuan, masih menunggu perbincangan lanjut berhubung kekeliruan membabitkan atlet para berbasikal negara, Afiq Afify Rizan, yang tersenarai dalam Program Podium 2018 tanpa pembantu jurumudi, Muhammad Khairul Adha Rasol.

Sebagai badan penting yang menyumbang cadangan penyenaraian baru atlet Program Podium 2018, MPM masih menunggu perbincangan yang membawa kata putus berhubung situasi atlet berkenaan.

Tegas John, setakat ini masih belum ada perkembangan terbaru dan pihaknya turut menunggu sebarang usul perbincangan semula kerana ia membabitkan semua jawatankuasa pemilihan atlet Program Podium.

"Kami mahu menyediakan yang terbaik untuk pasukan. Kami akan memberi cadangan," katanya.

Baki Program Podium 2017 masih berlangsung dan kemungkinan besar isu membabitkan Afiq itu bakal diputuskan sebaik baki program itu tamat.

Dalam perkembangan lalu, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) menjangkakan kekeliruan itu akan segera diatasi dalam tempoh seminggu selepas pengumuman senarai baru atlet Program Podium.

Namun, sehingga hari ini, masih belum ada sebarang perkembangan rasmi.

"Perbincangan di antara MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) mengenai hal ini ditangguhkan bagi memberi laluan kepada baki Program Podium yang ada ketika ini," tambahnya.