Program Podium yang menawarkan elaun latihan paling mewah dalam sejarah sukan negara berdepan risiko ditutup Januari tahun depan tatkala Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan mengumumkan struktur baru latihan buat atlet negara, minggu depan.

Program Podium semakin hampir ditutup dan rumusan itu disuarakan selepas berlangsung cadangan mesyuarat penstrukturan semula program latihan atlet negara di Putrajaya yang dipengerusikan Syed Saddiq bagi menghadapi cabaran hingga 2022.

Perkembangan itu pasti mengejutkan 146 atlet Program Podium yang sudah selesa menikmati kemudahan dan elaun maksimum mencecah RM7,500 sejak 2016.

Bagaimanapun, Syed Saddiq masih menangguhkan pengumuman nasib Program Podium kerana perlu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa prestasi tinggi kawalan dan pelaksanaan, minggu depan.

"Kami sedang mencari hala tuju untuk ke depan. Saya telah menerima taklimat penuh daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan 'post mortem' yang dilakukan bulan lalu.

"Dalam masa sama, kami juga mengambil maklum balas daripada persatuan sukan. Jadi, di sini kami mendengar suara pengurusan tertinggi daripada MSN dan ISN. Keputusan muktamad akan dibuat akhir bulan ini," ujar Syed Saddiq.

Selepas ini, barisan atlet akan diletakkan dalam empat program berbeza mengikut saingan bertemasya seperti Sukan Olimpik, Komanwel, Asia dan SEA.

Empat program itu juga menawarkan elaun dan kemudahan berbeza.