Pengarah Cawangan Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN), Safrushahar Yusof, menganggap tiga atlet membabitkan Afiq Ali Hanafiah, Ashraf Haisam dan S. Thavanesvaran sebagai watak utama yang akan mendukung kecemerlangan negara dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Tiga nama itu tiada dalam senarai baru Program Podium yang diumumkan Pengarahnya, Tim Newenham, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jaminan daripada Safrushahar terarah kepada penampilan dalam Sukan Para Asia, dengan menganggap mereka bakal menyaingi kecemerlangan tiga atlet para elit negara yang sememangnya sudah diketahui umum, iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Sehubungan itu, Safrushahar tidak terkilan walaupun ketiga-tiga atlet itu masih gagal dihidu program termahal negara itu.

"Atlet-atlet yang telah menunjukkan prestasi yang bagus ketika Sukan Para ASEAN 2017 telah disenaraikan.

"Satu program yang diadakan khusus untuk mereka telah dirancang bagi memastikan mereka turut menyumbang dalam saingan Sukan Para Asia 2018," katanya.

Dalam masa sama, hasrat untuk melihat kemunculan kali pertama Ziyad dan Latif dalam Sukan Asia mendapat restu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mengharapkan perancangan itu bukan sia-sia.

"Fokus diberikan kepada atlet-atlet biasa supaya prestasi mereka terus meningkat. Jika melihat dalam program para, kami melihat satu perbezaan yang jauh buat mereka.

"Apa yang kami fikirkan adalah menyahut saranan Khairy agar mereka layak menyertai kontinjen Sukan Asia 2018," tambahnya.