Program Podium: Kriteria Sukan Asia 2022, Sukan Olimpik 2024 jadi keutamaan

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Mac 2020 98
 Program Podium: Kriteria Sukan Asia 2022, Sukan Olimpik 2024 jadi keutamaan
Majlis Sukan Negara (MSN) menganggap penawaran atau penamatan kontrak Program Podium yang dijalankan hasil perbincangan bersama 23 persatuan sukan kebangsaan adalah berlandaskan pencapaian sejak 2015.

Pengguguran seramai 132 atlet tatkala negara akan menghadapi tahun yang penting ini mengundang reaksi daripada atlet yang berharap langkah itu dipertimbangkan semula.

Antaranya bekas pelumba berbasikal lebuh raya kebangsaan, Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee; penembak rifle negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan dan peninju negara kategori 60kg negara, Arfiqanie Ashori.

"Bagi MSN, tidak wujud soal habis madu sepah dibuang.

"Malah, ada atlet yang sudah beberapa kali diberi peluang untuk meningkatkan prestasi dengan harapan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) selain sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa Sukan SEA Filipina 2019.

"Kami menjangkakan kontinjen negara akan meraih pencapaian yang baik dalam Sukan Asia 2022 dan atlet-atlet sepatutnya tahu jika mereka tidak dapat bersaing di tahap itu.

"Mereka telah diberi peluang selama bertahun-tahun tetapi masih berdepan kekangan untuk mencapai sasaran seperti yang diharapkan.

"Kalau mereka dikekalkan, maka kuota itu tidak dapat diberikan kepada muka baru," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.



Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, pula berpandangan: "Yang penting persatuan melihat perancangan jangka masa sederhana dan panjang, khususnya untuk Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024.

"Perkara ini diserahkan kepada persatuan sukan untuk bekerjasama dengan MSN bagi melihat program susulan."

Dalam masa sama, Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin, turut senada apabila menyifatkan tindakan itu telah dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Kerja Program Podium.

"Atlet yang meraih pingat sepanjang 2019 akan dipertimbangkan kecuali beberapa daripadanya yang pada pandangan jawatakuasa kerja, ada atlet yang sudah melangkaui dua temasya Sukan SEA tetapi di sebalik pelaburan sejak edisi 2015 di Singapura, mereka masih belum dapat bersaing dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel. 

"Jadi, kami perlu pertimbangkan apakah mereka mampu bersaing dalam Sukan Asia 2022. 

"Kami mahu menumpukan atlet yang lebih muda, iaitu dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 21 tahun sebagai persiapan Sukan SEA 2021 dan Sukan Asia 2022.

"Sesetengah daripada mereka yang tidak ditawarkan kontrak ini sudah pun berada dalam program MSN lebih dari 10 tahun.

"Jika dilihat berdasarkan pencapaian lalu, hanya segelintir sahaja yang tidak memenangi apa-apa, mereka inilah yang tidak ditawarkan (tempat) dalam program baru.

"Selama ini mereka telah diberikan pelbagai kemudahan, sokongan dan dorongan tetapi mereka masih tidak berjaya di peringkat antarabangsa.

"Selepas berbincang dengan pihak persatuan dan menerima arahan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), maka kami telah memulakan kitaran atlet yang baru," katanya.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen