Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, mengesahkan Program Podium akan melalui proses penstrukturan semula secara holistik yang akan dikendalikan sepenuhnya Majlis Sukan Negara (MSN) berkuatkuasa awal tahun depan.

Menurutnya, program baru itu menggunakan pendekatan sistem berperingkat (tiering system), iaitu fleksibiliti dalam pemilihan atlet serta pelaksanaan program dapat dibuat secara efisien dan penetapan sasaran lebih mudah dilaksanakan.

Jelas beliau, program tersebut akan menawarkan kontrak baru kepada atlet dan jurulatih dan mereka yang terpilih perlu mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Program ini akan diteruskan melangkaui tahun 2020. Pertengahan bulan depan, MSN akan mengadakan perjumpaan dengan persatuan-persatuan sukan untuk memuktamadkan kontrak yang akan diberikan nanti.

“ISN (Institut Sukan Negara) tetap memainkan peranan, terutama dalam sains sukan. Program ini akan diperketatkan dan MSN akan bertanggungjawab.

"Sekali lagi saya ingatkan perangkaan kontrak baru ini berdasarkan KPI prestasi atlet dan jurulatih,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ‘High Performance Command and Control Committee Meeting’ di Menara KBS, hari ini.

Mengenai atlet Podium ketika ini, Syed Saddiq berkata kedudukan mereka masih diteruskan, namun mengikut sistem berperingkat seperti yang diputuskan.

Menurutnya, peringkat pertama tertumpu kepada sukan-sukan yang mempunyai penyertaan dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2020.

Katanya, peringkat kedua akan difokuskan kepada sukan yang memenangi pingat dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia serta sukan dalam Sukan Para Asia 2018 dan akan bertanding dalam temasya pada 2022. Peringkat ketiga kepada sukan yang dipertandingkan dalam Sukan SEA serta Para Asean 2019/2021.

Peringkat keempat akan menempatkan sukan-sukan yang tidak dipertandingkan dalam mana-mana temasya, kelompok sukan itu akan diberi bantuan secara geran dan bergantung kepada prestasi mereka di peringkat antarabangsa.

“Peringkat pertama (tier one) sebelum ini agak longgar, tetapi sekarang ini peringkat pertama difokuskan kepada atlet yang bakal memenangkan pingat dalam Sukan Olimpik, cuma dalam polisi program itu agak fleksibel,” jelas Syed Saddiq.

Program Podium yang dilancarkan pada 2016 merupakan inisiatif Pelan Prestasi Tinggi KBS dalam merealisasikan pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Namun, ekoran kegagalan kontinjen negara berada dalam kelompok 10 terbaik dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos lalu, dan Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, KBS di bawah kepimpinan baru memilih untuk menstrukturkan semula program tersebut.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menjelaskan pengurusan Program Podium akan diselaraskan semula di bawah MSN, iaitu turut melibatkan program Kita Juara dan program atlet pelapis.

“Kontrak atlet yang ada sekarang ini akan dikekalkan sehingga penghujung tahun ini. Pihak ISN akan kekalkan dan selepas itu MSN akan melihat semula kontrak tersebut mengikut sistem berperingkat yang telah ditetapkan.

“Saya akan mengetuai program ini bersama-sama tiga jawatankuasa yang akan ditubuhkan, iaitu jawatankuasa kerja, jawatankuasa pemilihan dan jawatankuasa program. Ini adalah amanah dan tanggungjawab, saya perlu memastikan program ini berhasil,” katanya.

-- BERNAMA