Program Podium: Dapatkan khidmat peguam sebelum meterai kontrak

Oleh Penulis Jemputan 22 Disember 2017 126
Program Podium: Dapatkan khidmat peguam sebelum meterai kontrak
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, meminta atlet mendapatkan nasihat peguam atau pengurus mereka sebelum menandatangani kontrak Program Podium dalam masa terdekat. 

Mazlan menegaskan atlet perlu faham sepenuhnya terma dalam kontrak Program Podium sebelum menurunkan tandatangan. Ia bagi memastikan mereka memahami sasaran dan keperluan yang perlu dicapai, bukannya hanya membabitkan soal elaun mewah. 

"Sudah sampai masanya atlet-atlet ini melantik pengurus. 

"Selain sukan bola sepak, atlet-atlet ini menerima gaji yang kecil. Bagaimanapun, ada peguam yang secara sukarela ingin membantu atlet-atlet ini. 

"Mereka boleh tampil untuk menawarkan khidmat. Kita tak patut larang atlet untuk mengheret kes ke mahkamah tetapi sebelum mereka melalui proses tertentu, perkara ini perlu dimasukkan dalam kontrak (Program Podium)," ujar Mazlan bagi program itu yang diwujudkan untuk misi memenangi pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. 

Februari lalu, Nur Ayuni Farhana Abd Halim, Nur Suryani Mohd Taibi, Muslifah Zulkifli dan Muhammad Ezuan Nasir Khan digugurkan daripada Program Podium. 

Isu timbul apabila sebahagiannya mendakwa Program Podium tidak cukup membantu sehingga mereka gagal meraih keputusan cemerlang. 

Kemuncaknya pada Oktober lalu, Nur Ayuni, Suryani dan Muslifah menfailkan saman terhadap Institut Sukan Negara (ISN). 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen