Pengarah Program Podium, Tim Newenham, mengharapkan tahap kesihatan atlet para negara, Krishna Kumar Hari Das, kembali seperti sediakala ketika program itu masih meletakkan kepercayaan kepadanya untuk pulih.

Kumar berada dalam proses rawatan bagi masalah di dalam perut di mana dia terpaksa melupakan sesi latihan hariannya demi memastikan keadaannya kembali seperti sediakala.

Dia, yang masih terpilih dalam Program Podium bagi tahun kedua, mendapat perhatian khusus daripada pihak program itu berhubung masalah kesihatan yang dialaminya kini.

Bagaimanapun, keputusan baru perlu dilakukan sekiranya Kumar memerlukan masa yang lebih panjang untuk proses rawatannya.

"Saya tidak mahu bercakap lebih mengenai isu perubatan tetapi seperti yang dikatakan, dia tidak sihat. ISN (Institut Sukan Negara) dan Program Podium mengambil berat.

"Apabila mengetahui seseorang tidak sihat dalam program ini dan dia berkhidmat untuk negara dengan baik, saya rasa kami perlu melakukan sesuatu," katanya.

Kumar, yang menyumbang tiga pingat emas dalam Sukan Para ASEAN Singapura 2015, gagal menghabiskan larian menerusi dua acara yang disertai dalam temasya sukan itu di Kuala Lumpur, September lalu ekoran kekejangan otot dan rasa sakit di dalam perut.

"Saya bercakap dengan ibunya baru-baru ini, sudah tentu kami boleh melakukan yang terbaik untuk membantunya," ujar Newenham.