Atlet yang bakal diserap ke dalam Program Podium 2018 masih tenang menanti tarikh untuk mengikat kontrak secara rasmi yang dijangka bulan depan.

Seramai 39 atlet baru yang terpilih ke program sukan termahal negara itu masih belum menandatangani kontrak sejak nama mereka diumumkan bulan lalu.

Rata-rata atlet enggan terlalu memikirkan soal itu selain sudah sedia maklum mengenai nama yang disenaraikan dan mengharapkan tiada sebarang masalah mengenai kontrak berkenaan.

"Hari itu kami ada mesyuarat dan mereka kata kontrak (akan keluar) bulan Januari. Saya tunggu.

"Mereka akan lakukan tugas mereka dan kami akan lakukan tugas kami sebagai atlet. Kami tidaklah buat sibuk. Buat apa kami nak beri tekanan kepada mereka," kata atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Setakat ini, latihan hanya berjalan seperti biasa kerana program penuh hanya akan bermula selewat-lewatnya bulan depan selepas mengikat kontrak secara rasmi.

Sementara itu, atlet boling padang, Hizlee Abdul Rais, berkata: "Kalau boleh pada bulan depan. Kalau boleh dapat cepat lagi bagus untuk persiapan Sukan Komanwel.

"Daripada segi butiran kontrak sudah tahu, cuma bentuk bayaran masih belum tahu."