Ketika penularan Covid-19 yang belum berpenghujung, tidak bermakna Majlis Sukan Negara (MSN) akan berlembut dengan atlet yang berada di bawah Program Podium.

Dasar mengekalkan prestasi atau pun digugurkan -- tetap dilaksanakan kepada atlet yang dikenalpasti membawa cabaran negara dalam temasya penting bagi tahun 2021 dan 2022.

Bagi lebih 400 atlet di bawah Program Podium pada 2020, mereka dijangka terus berada dalam perancangan program elit itu sehingga 2022.

Ini bagi memastikan ada kesinambungan daripada Sukan Olimpik Tokyo Ogos ini kepada dua temasya besar pada tahun hadapan, Sukan Komanwel dan Asia.

Bagaimanapun, perancangan itu tidak bermakna atlet-atlet tersebut boleh berbulan madu tanpa sebarang kesan yang berupaya menyaksikan mereka digugurkan daripada program itu.

"Walaupun atlet masih lagi berada dalam Program Podium, prestasi perlu dikekalkan bagi merebutkan tempat melayakkan diri dalam saingan utama bagi tahun ini dan tahun depan," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

"Atlet-atlet perlu memastikan mereka mencapai kriteria yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mendapatkan tempat beraksi dalam kejohanan bertaraf antarabangsa."