Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, memberi amaran akan menggugurkan mana-mana atlet dan jurulatih yang ingkar arahan Program Podium selepas tidak menyambung kontrak pengendali skuad terjun, Yang Zhuliang.

Katanya, program sukan termahal negara itu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap atlet dan jurulatih yang ingkar arahan pegawai mereka.

Ia susulan tindakan menamatkan kontrak Zhuliang selepas didakwa enggan menerima perubahan dalam sesi latihan yang dikendalikannya.

Jelas Abdul Azim, tindakan terpaksa diambil walaupun atlet atau jurulatih itu memiliki reputasi besar di peringkat antarabangsa.

"Bagi kerjasamalah," katanya. "Itu maknanya mereka boleh datang, tengok dan berikan nasihat, itu sahaja. Tetapi apabila kami katakan gunakan teknik ini, cubakan teknik itu, mugkin dia tidak bersetuju.

"Semua yang berada dalam Program Podium perlu mengikuti kaedah sains sukan yang kami sarankan. Setakat ini, terjun yang tidak mahu menerimanya," katanya.

Keputusan tidak menyambung kontrak Zhuliang dilihat terburu-buru kerana dia berjaya melahirkan juara dunia dan pemenang pingat Sukan Olimpik.

Jurulatih berusia 53 tahun itu enggan menerima tawaran sebagai jurulatih skuad pembangunan dan merancang pulang ke China selepas tamat kontrak 31 Disember ini.

Sementara itu, ISN sudah memulakan langkah mengambil alih kafe atlet di Majlis Sukan Negara (MSN) dengan mengadakan mesyuarat di Kementerian Belia dan Sukan.

"Kami melihat ekosistem atlet itu sendiri di mana kalau kami memberikan mereka perubatan, sains sukan dan sebagainya. Maka, makanan itu seharusnya berada dalam ekologi sistem atlet itu sendiri,"
tambah Abdul Azim.