Sebanyak 70 peratus daripada penyertaan atlet program podium dalam kejohanan antarabangsa tahun ini telah dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Keadaan itu memaksa Majlis Sukan Negara (MSN) merangka pelan baru bagi mengubah mentaliti semua pemegang taruh utama sukan negara.

Dalam kata mudah, tiada lagi layanan khas buat atlet dan pegawai yang mahu kerap menyertai kejohanan di luar negara.

Apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah jurulatih dan pegawai perlu merombak pelan latihan, terutama program periodisasi, yang majoritinya kini terpaksa dilaksanakan di dalam negara.

Antara pilihan terhad yang dimiliki ialah kejohanan simulasi yang membabitkan rakan sepelatih.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin, berkata: "Ia memberikan impak yang besar terhadap prestasi mereka.

"Mereka perlu kembali ke papan strategi untuk duduk bersama pakar ISN (Institut Sukan Negara) dan jurulatih untuk merangka satu perancangan baru.

"Kemudian, kami akan melihat kembali apa yang mereka tumpukan.

"Kami perlu membina semula program latihan bagi menumpukan kejohanan tahun depan," katanya.

Kebiasaannya, majoriti atlet dalam program podium akan menyertai lebih daripada 10 kejohanan antarabangsa dalam setahun.

Selain pengurangan itu, kejohanan tempatan juga belum pasti dapat diadakan sehingga tamat tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) 31 Ogos depan.

"Sehingga wabak Covid-19 ini dapat disahkan sudah selamat, barulah kita dapat menganjurkan apa-apa kejohanan.

"Pada masa yang sama, mereka boleh mengadakan simulasi di peringkat dalaman.

"Ia bergantung kepada perancangan mengikut sukan masing-masing.

"Saya tidak rasa kita patut menganjurkan apa-apa kejohanan dalam masa terdekat ini.

"Apa yang penting, mereka dapat kembali ke pusat latihan untuk berlatih untuk membina semula fizikal dan kemahiran mereka sebelum menyertai apa-apa kejohanan," katanya lagi.