Program latihan skuad ragbi 15s negara disusun semula

Oleh Bernama 3 Ogos 2020 6
Program latihan skuad ragbi 15s negara disusun semula
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan merangka pelan latihan yang baharu untuk skuad ragbi 15 sebelah kebangsaan susulan pengumuman pembatalan kejohanan antarabangsa oleh Ragbi Asia, semalam.

KRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelan latihan berkenaan adalah bagi memastikan skuad ragbi 15 sebelah kebangsaan kendalian bekas pemain All Blacks, Brad Mika mempunyai persediaan rapi bagi menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun hadapan.

Badan induk itu memaklumkan skuad ragbi tujuh sebelah lelaki dan wanita kebangsaan pula akan menjalani program latihan yang telah ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"KRM menyokong penuh keputusan yang diambil oleh Ragbi Asia, dan menganggap itu adalah langkah yang tepat demi membendung penularan (pandemik) COVID-19,” jelas KRM.

Ragbi Asia dalam kenyataan semalam memaklumkan berkenaan pembatalan kejohanan bagi suku keempat bermula 1 Okt hingga 31 Dis ini susulan peningkatan kes Covid-19 di peringkat global.

Presiden Ragbi Asia Qais al Dhalai berkata keputusan berkenaan diputuskan setelah meneliti maklum balas dari Jawatankuasa Pertandingan, Jawatankuasa Kebajikan dan Perubatan Pemain, serta kumpulan kerja Covid-19 selaras garis panduan ditetapkan Ragbi Dunia.

Susulan pengumuman berkenaan, Ragbi Asia memaklumkan mereka akan merangka penjadualan semula semua kejohanan dan format pertandingan bagi tahun hadapan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen