Program golf junior Sabah akan disambung semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat nanti.

Jurulatih program itu, Ronnie Pancratius dalam satu kenyataan, semalam, berkata mereka telah membuat perancangan dan persiapan untuk meneruskan program golf bawah 12 tahun (B-12) itu yang terhenti sejak PKP dilaksanakan, sebelum ini.

Katanya, program berkenaan akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkaitan lain bagi memastikan keselamatan para pelatih serta dan jurulatih.

"Apabila PKP ini tamat nanti, kita akan menjalankan latihan secara berperingkat yang hanya membabitkan lima hingga lapan pemain dalam satu-satu masa bagi mengelak daripada perhimpunan ramai serta meningkatkan lagi kualiti latihan.

Sementara itu, Roonie turut berkata pihaknya akan menganjurkan beberapa program pada masa akan datang termasuklah pertandingan, memperkenalkan sukan golf kepada sekolah rendah, seminar kejurulatihan kepada guru, klinik golf junior di beberapa daerah dan program kem golf.

"Kita juga merancang untuk mengumpul pemain untuk bertanding dalam temasya Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) serta Sukan Sabah (SAGA) yang dijadualkan tahun depan.