Persekutuan Renang Malaysia (PRM) memberi jaminan bantuan buat jaguh kuak dada wanita, Phee Jinq En, untuk kembali ke Amerika Syarikat (AS) supaya mampu mengadakan persiapan lebih rapi ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Ia bagi tujuan membantunya daripada segi status visa sukan termasuk apa jua pembiayaan bagi pemenang dua pingat emas Sukan SEA Filipina itu berlatih.

"Saya akan menyokong programnya, visa dan membuka laluannya ke Sukan Olimpik", kata Setiausaha Kehormat PRM, Mae Chen, ketika berkongsi jaminan badan induk itu kepada Nadi Arena, Muiz Aziz, hari ini.

Selain status latihan Jinq En yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini, PRM juga membangkitkan isu mengenai masa depan renang berirama yang tiada dalam senarai dua edisi Sukan SEA, iaitu 2021 dan 2023.

"Saya telah memohon kepada MSN supaya memberi sokongan (untuk acara) renang artistik (dipertandingkan) sebab mereka telah menyumbang dua pingat emas dalam Sukan SEA 2019," katanya.
Pada masa yang sama, persekutuan itu belum memilih ataupun mencapai kata putus mengenai pemilihan penerjun-penerjun negara yang bakal ke Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Setakat ini, empat penerjun telah melayakkan diri secara merit ke temasya di Jepun itu, iaitu Pandelela Rinong, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee.

PRM juga masih menjangkakan beberapa penerjun untuk melayakkan diri ke temasya berprestij itu, iaitu daripada kem terjun lelaki serta penerjunan wanita, Cheong Jun Hoong.