Prestasi turun 50 peratus -- Hup Wei

Oleh Ammar Hakim 24 Jun 2020 49
Prestasi turun 50 peratus -- Hup Wei
Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, bimbang situasi berpanjangan tanpa sebarang program latihan intensif akan menjejaskan prestasinya, sekali gus mengugat peluang beraksi dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo, tahun hadapan.

Hup Wei berkata, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada prestasi keseluruhan dirinya telah berkurang, selepas hampir empat bulan tidak mengikuti program intensif yang merangkumi aktiviti di trek, susulan penularan pandemik COVID-19.

Menurut atlet berusia 33 tahun itu, kombinasi latihan di gim dan trek mampu menghasilkan keputusan optimum, selain peranan pusat pemulihan yang berupaya membantu atlet mengekalkan kecergasan, selepas berdepan dengan intensiti latihan yang tinggi.

“Saya memang pening bila program latihan terganggu dan tidak dapat berlatih di trek bersama jurulatih, selain ketiadaan kejohanan. Ya, keupayaan melompat itu masih ada, tetapi tidak cukup untuk bantu saya melompat melebihi 2.20 meter (m). Lebih bagus jika dapat berlatih di trek dan gim sekali.

“Saya akui memang prestasi merosot banyak dalam 50 peratus. Jika lambat kembali ke trek ia akan lebih teruk, kerana latihan yang boleh dibuat sekarang sangat terhad. Sekadar jaga stamina dengan berlari tidak cukup, kita perlu juga latihan spesifik terhadap teknik lompatan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Barisan kejurulatihan skuad olahraga negara kini sedang menunggu kata putus daripada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung latihan, meskipun Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu baru-baru ini mendakwa, latihan dijangka bermula Julai ini.

Media tempatan sebelum ini turut melaporkan Hup Wei terkilan, selepas namanya diketepikan dalam senarai atlet yang dipanggil menjalani kem latihan pusat program 'Road to Tokyo' (RTT) 2020.

Bagaimanapun, pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan edisi 2012 di London menjelaskan, beliau sebenarnya hanya keliru apabila disisihkan tatkala beliau berada di kedudukan terbaik untuk layak Tokyo.

“Dalam situasi saya, saya mesti berada dalam program RTT tetapi sekarang saya hanya fikir untuk cepat kembali berlatih dan layak ke Olimpik. Persatuan perlu sediakan satu program khas untuk semua atlet kembali berlatih, secepat mungkin.

“Saya memerlukan tempoh selama enam bulan dengan program latihan yang intensif untuk capai prestasi puncak sebelum Olimpik,” jelas atlet yang pernah bergelar juara Asia di Amman, Jordan pada 2007 dengan catatan terbaiknya 2.24m.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen