Ketua jurulatih Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), Syed Mohd Hussaini Mohd Mazlan, menyifatkan mereka di landasan tepat untuk meneruskan penguasaan dalam sukan berbasikal di negara ini.

Malah, penyertaan dalam edisi sulung Junior Cycling Malaysia (JCM), yang berakhir Ahad lalu, seolah-olah memberi gambaran kekuatan negeri itu menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

“Sepanjang JCM berlangsung, hampir kesemua pelumba Terengganu menunjukkan prestasi cemerlang dengan ramai yang berjaya mendapat kedudukan podium, iaitu tiga teratas.

“Seramai 55 pelumba dihantar menyertai kejohanan ini, termasukl dari program pembangunan negeri melibatkan pelumba seawal usia 13 tahun.

“Kejayaan ini menunjukkan penguasaan dalam pelbagai kategori, malah ramai dalam kalangan mereka terpilih ke program ‘Kita Juara’ dan skuad pelapis kebangsaan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

“Majoriti pelumba ini boleh mewakili Terengganu untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Perak nanti, jadi saya sangat berpuas hati,” katanya.

Antara yang mencuri tumpuan adalah kejayaan Wan Abdul Rahman Hamdan, Mohamad Firdaus Awang dan Mohd Abdul Hadi Azhar yang menduduki tiga tempat teratas dalam acara kriterium lelaki bawah 19 tahun.

Pelumba berusia 17 tahun, Ezzatie Fifiyana Syazwanie Shaiful, turut unggul dengan menjuarai kategori perempuan bawah 19 tahun.

“Wan Abdul Rahman kini di puncak prestasi apabila turut memenangi acara lebuhraya, mengulangi kejayaan berganda JCM Putrajaya, bulan lalu.

“Ezzatie pula menunjukkan prestasi luar biasa meskipun tidak menjalani latihan kerana sedang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mereka adalah antara yang akan dipertaruhkan dalam Sukma 2018 tetapi fokus kini terarah pada Grand Prix di Bali, dua minggu lagi serta Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di India, awal tahun hadapan,” tambahnya.