Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil, mempertahankan pelari pecut negara yang bergelut dalam Kejohanan Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) kerana mengikut perancangan, mereka akan mencapai kemuncak prestasi ketika Sukan SEA Filipina dua minggu lagi.

Dalam saingan itu hujung minggu lalu, pelari berusia 15 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, lebih menyinar berbanding jaguh pecut negara seperti Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz Jantan.

Ia mengundang persoalan mengenai peluang pelari pecut negara untuk membantu mencapai sasaran lapan pingat emas, terutama selepas Khairul Hafiz menjuarai acara 100 meter dalam temasya di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Namun, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kekal tenang dan melihatnya sebagai sesuatu yang normal.

"Kalau dilihat daripada segi latihan, mereka perlu mencapai prestasi terbaik ketika Sukan SEA. Sebelum itu, saingan Kejohanan Innotex ini adalah pemanas badan untuk mengelakkan kecederaan," ujar Manshahar.

"Kami mengutamakan asas dan tidak mahu terlalu mengerah kudrat bagi mengelakkan kecederaan. Itu perkara utama kerana saingan ini tidak membuktikan apa-apa. Kami hanya fokus kepada elemen asas," ujar pengarah teknikal olahraga negara, Dwayne Miller.

Skuad olahraga negara akan diwakili 49 atlet dengan sasaran sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian lapan emas di Kuala Lumpur tatkala saingan di Filipina dijangka meluangkan kejayaan menerusi acara padang.