Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) tetap mempertimbangkan Nur Suryani Mohamed Taibi ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 menjelang proses pemilihan, Sabtu ini, namun nasib berbeza dialami dua lagi bekas rakan sepasukannya.

Kejayaan Suryani meraih pingat gangsa acara 50m air rifle tiga posisi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi modal untuknya dipertimbangkan ke program Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Ini bermakna, NSAM lebih mementingkan prestasi penembak berbanding isu peribadi mereka.

Ia merujuk kepada tindakan Suryani, Nur Ayuni Farhana Abd Halim dan Muslifah Zulkifli memfailkan saman terhadap Institut Sukan Negara (ISN) atas dakwaan digugurkan daripada Program Podium mengikut cara salah.

Antara kriteria utama yang diambil kira adalah pencapaian dalam Sukan SEA 2017 serta kejohanan lain sepanjang tahun ini.

Walaupun dipalit isu, namun NSAM tidak menutup peluang untuk penembak mereka terus mewakili negara.

"Kalau mereka masih bagus dan boleh mencapai kriteria yang kami mahukan, mereka akan dianggap seperti penembak lain.

"Kami tidak akan bersikap pilih kasih," ujar ahli majlis NSAM, Datuk Musa Omar.