Presiden UFC, Dana White, akan bertemu dengan Khabib Nurmagomedov bagi meyakinkan bintang itu untuk keluar daripada persaraan dan terlibat dalam satu lagi pertarungan.

Khabib, mengejutkan dunia dengan mengumumkan pengunduran dirinya daripada gelanggang oktagon itu sebaik mengalahkan Justin Gaethje, sekali gus mempertahankan gelaran featherweight dalam edisi UFC 254, Oktober lalu, untuk melebarkan rekodnya kepada 29-0,

White terus menaruh harapan untuk melihat atlet berusia 32 tahun itu kembali ke UFC dalam usaha menyempurnakan rekod 30-0.

Tatkala Conor McGregor dan Dustin Poirier bersiap sedia untuk bertarung dalam UFC 257 di Abu Dhabi pada 23 Januari ini, White memberitahu ESPN: "Saya akan menemui Khabib kerana saya fikir dia perlu bertarung lagi.

"Lihat apa yang dilakukannya terhadap Justin Gaethje. Lihatlah apa yang telah dilakukannya ke atas setiap lawan yang dihadapi.

"Saya fikir dia harus bertarung lagi dan saya akan sekeras-kerasnya menekankan bahawa mungkin akan ada satu lagi pertarungan buatnya."



White menambah: "Sebagai penganjur, saya ingin melihat manusia terbaik di dunia tetapi pada masa yang sama, jika seseorang itu ingin bersara, dia mungkin patut melakukannya.

"Perbezaannya, manusia seperti Khabib telah melalui banyak pancaroba dan kehilangan ayahnya merupakan satu tamparan besar buatnya. Namun, ayahnya mahukannya mencapai rekod 30-0.

"Tidak kira apa pendapat anda mengenai Conor secara peribadi, Conor McGregor bukan sahaja salah seorang yang terbaik di dunia, malah antara terbaik. Dan ketika ini, fokusnya sama seperti dulu.

"Saya tidak tahu apakah ini adalah Conor yang serupa selepas bertarung dengan Poirier, tetapi jika Conor ini mampu bertahan untuk tahun berikutnya, mengapa tidak sekali lagi menemukan Khabib vs. Conor?"