Atlet negara, Prem Kumar, enggan mengambil risiko berdepan kecederaan lebih serius andai menyertai Kejohanan Karate Dunia di Sepanyol November depan selepas selesai menjalani pembedahan kaki, awal bulan ini.

Kumar sudah berbincang dengan jurulatih, Andris Vasiljevs, berhubung keadaannya yang masih belum berada di tahap terbaik untuk ke kejohanan kompetitif.

Malah, dia sendiri tidak yakin untuk beraksi dengan persiapan singkat yang dilakukan apabila baru kembali memulakan latihan penuh, kelmarin.

Walaupun kaki kanannya hampir pulih sepenuhnya, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu khuatir risiko kecederaan serius akan berlaku dan pastinya memerlukan tempoh masa lebih lama untuk sembuh.

"Aksi ini memang kejohanan yang penting di mana ia menjadi saingan kelayakan ke Olimpik tetapi bagi saya, pemulihan sepenuhnya lagi penting kerana Sukan SEA akan berlangsung tahun depan.

"Saya mahu memastikan kecederaan saya pulih sepenuhnya kerana kini masih belum yakin," kata Kumar.

Sedar dengan kejohanan dunia yang menawarkan mata tinggi untuk ke saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kumar percaya peluangnya masih lagi terbuka untuk fokus dalam kejohanan Liga Premier Karate 1, tahun depan.

"Aksi Liga Premier 1 agak rumit kerana banyak pesaing yang tidak beraksi.

"Berbeza dengan Kejohanan Dunia yang lebih sukar. Atlet-atlet hebat semua turun beraksi. Itu bezanya."