Atlet luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, cemerlang merangkul gelaran pemenang keseluruhan dalam aksi final Kejohanan Luncur Air Pra-Sukan SEA, namun mengakui kegugupan menjadi punca utama dia gagal menyamai pencapaian yang sama ketika saingan awal.

Kejutan Aaliyah pada hari pertama dengan menguasai ketiga-tiga acara membabitkan slalom, tricks dan jump gagal diulangi dalam aksi final, hari ini.

Mengakui tertekan untuk mengatasi catatan pada hari pertama, semalam, hal itu menjadi perkara utama yang mahu diperbaiki untuk saingan Sukan SEA.

"Hati saya gementar kerana memikirnya, saya perlu melakukannya. Saya kurang fokus, terlalu tertekan dan hanya melakukan yang terbaik.

"Saya lakukan dengan baik semalam tetapi tidak pada hari ini. Ia tidak baik kerana tidak konsisten," katanya.

Aaliyah, bagaimanapun, membuktikan penguasaannya bagi acara tricks menerusi emas dengan catatan 4,300 mata.

Catatan itu gagal menyaingi aksi awal Aaliyah semalam dengan memungut 6,970 mata.

Menerusi kutipan satu emas, satu perak dan satu gangsa, Aaliyah turut dinobat selaku pemenang keseluruhan dalam penganjuran Pra-Sukan SEA kali ini.

Sementara itu, Aiden Yoong Hanifah menyumbang gangsa dalam acara tricks lelaki, yang turut menyaksikan peningkatan mata sebanyak 3,470 mata berbanding saingan awal, semalam.

"Perkara utama yang harus saya fikirkan adalah fokus dan jangan terburu-buru," katanya.