Pasukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau muncul juara kejohanan bola jaring Piala Toh Puan 2016 selepas menewaskan pasukan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dalam satu aksi final sengit di Kompleks Sukan Likas, semalam.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan bukan saja terikat 19-19 pada masa sebenar permainan, malah sekali lagi terikat 25-25 apabila perlawanan diheret ke masa tambahan.

Bagaimanapun, nasib lebih berpihak kepada PPD Keningau apabila melakukan dua jaringan berturut-turut pada penentuan 'jaringan emas', sekali gus menjuarai kejohanan kali kelima berkenaan.

Ia juga kejuaraan pertama PPD Keningau yang dibarisi pemain Halleinah Tuanggak, Joelene Janes Lim, Felicia Justine, Frederica Clarice Justine, Juvie June Junaidi, Juvita Hamizah Soumin, Carol Lenny Donggulu, dan Effymieaevie Kosai.

Dengan kemenangan itu, PPD Keningau membawa pulang piala, wang tunai RM1,000 dan medal manakala SUK Negeri mendapat hadiah piala, wang tunai RM700 dan medal sebagai naib juara.

Sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan dua hari itu dengan kesemua hadiah disampaikan isteri Tuan Yang Terutama, Toh Puan Norlidah RM Jasni.