Pemerhati sukan, Datuk Wira Mazlan Ahmad, membantah jika Majlis Sukan Negara (MSN) bercadang memotong bajet tahunan persatuan sukan kebangsaan yang tiada alasan kukuh terhadap surat tunjuk sebab kegagalan mencapai sasaran Sukan SEA Ke-30.

Beliau bersetuju dengan tindakan panel bedah siasat pencapaian Sukan SEA Filipina untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada 11 persatuan yang gagal mencapai sasaran emas.

Namun, panel terbabit, terutama MSN, perlu berhati-hati dalam mengambil tindakan jika tidak berpuas hati dengan alasan persatuan terbabit.

Terdapat cadangan untuk memotong bajet tahunan persatuan tetapi ia keterlaluan.

"MSN boleh memberikan satu lagi peluang kepada persatuan, namun setiap kelemahan yang dilakukan atlet yang bertanding dalam Sukan SEA di Filipina harus diperbaiki serta mengenal pasti punca kegagalan dalam temasya itu..

"Pemotongan bajet persatuan adalah satu tindakan yang tidak wajar," katanya.

Mazlan yang juga bekas Ketua Pengarah MSN menegaskan kepentingan ketika ini ialah atlet, jurulatih dan pegawai persatuan menyedari tanggungjawab terhadap sebarang keputusan kejohanan atau temasya sukan kerana ia membabitkan wang rakyat.