Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Kassim, memberikan restu kepada juara Sukan SEA, Muhd Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan, berpindah ke Bukit Jalil setelah tujuh tahun berguru di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI).

Transisi kejurulatihan itu adalah persediaan awal untuk Malaysia merekod kejayaan hatrik dalam acara 100 meter lelaki Sukan SEA menjelang temasya yang akan berlangsung di Vietnam, tahun depan.

Haiqal dan Khairul mendapat sentuhan Poad sejak 2015 dan mengecap kegemilangan sebagai lelaki terpantas Asia Tenggara.

Mereka antara produk berjaya SSTMI dan kini akan diserahkan ke pakar asing, Dwayne Miller di Bukit Jalil sebagai proses perkembangan atlet demi mencapai prestasi lebih tinggi.

Miller, Pengarah Teknikal baru Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pernah menggilap beberapa atlet kelas dunia yang memenangi emas Sukan Olimpik antaranya LaShawn Merritt dan LaTasha Colander.

"Mengumpul barisan atlet pecut adalah langkah yang penting untuk mendapatkan skuad yang berkualiti. Saya telah memberikan pandangan ini sejak sebelum ini dan keputusan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mendapatkan khidmat Miller adalah langkah yang tepat," kata Poad.

"Kini usaha memastikan atlet pecut negara layak ke Sukan Olimpik menjadi objektif utama."

Poad tidak terkesan dengan penghijrahan dua bintang utama olahraga itu ke Bukit Jalil.

Malah beliau akan tetap komited meneruskan usaha mengenal pasti bakat baru untuk diasah menjadi prospek yang mampu menggegar pentas antarabangsa.

Selain Haiqal dan Khairul, Poad juga turut pernah melahirkan seorang lagi pelari pecut negara, Badrul Hisyam Abdul Manap.

"Saya tidak risau apabila atlet yang telah digilap berhijrah kerana saya bermula membentuk mereka daripada akar umbi. Saya tidak terkilan kerana saya berpengalaman untuk melahirkan atlet pecut yang daripada peringkat awal," katanya lagi.