Poad dalam keadaan kritikal

Oleh Penulis Jemputan 26 Disember 2017 5680
Poad dalam keadaan kritikal
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, kini dalam keadaan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Poad dimasukkan ke wad Ahad lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata Poad terpaksa berada dalam keadaan koma bagi memberikan rawatan kepada paru-parunya.

Jelasnya, doktor akan memberikan rawatan terbaik kepada jurulatih Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, itu.

“Beliau sedar pagi tadi sehingga keluarga dan doktor membuat keputusan untuk meletakkan dia dalam keadaan koma untuk memudahkan mereka membuat rawatan ke atas paru-paru dan dadanya.

“Kami (MSN) mengharapkan semua rakyat Malaysia mendoakan agar jurulatih Poad dapat melalui rintangan getir ini dan kembali sihat seperti biasa.

“Kami berharap beliau dapat membimbing pelari-pelari kita seperti biasa,” katanya.

Menurut Shapawi, Poad bertanggungjawab melatih bakat dan acara pecut dalam program pelapis yang melibatkan remaja dan senior di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen