PKP tidak halang ADAMAS atasi isu doping

Oleh Bernama 28 April 2020 29
PKP tidak halang ADAMAS atasi isu doping
Biarpun keseluruhan acara sukan dan latihan atlet negara tergendala sejak 18 Mac lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19, perjuangan mengenai isu doping dalam sukan tetap diteruskan.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Azura Abidin, berkata sebagai badan yang bertanggungjawab melakukan ujian dan kesedaran mengenai penggunaan bahan larangan, mereka masih tetap gigih meneruskan usaha membendung gejala doping.

Menurutnya, ADAMAS mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan beberapa persatuan sukan kebangsaan (NSA) bagi menganjurkan Webinar Pendidikan Anti-Doping kepada atlet, jurulatih dan ahli persatuan, selain meningkatkan pendidikan menerusi laman media sosial agensi itu seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Webinar ini bertujuan memastikan barisan atlet dan penggiat sukan mendapat maklumat secukupnya mengenai penyalahgunaan bahan terlarang dalam sukan, hukuman dan risiko ke atas kesihatan.

“Kami baru buat siri pertama bersama Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) melibatkan 20 atlet dan jurulatih. Selepas ini, kami bercadang untuk kerjasama dengan beberapa NSA lain melibatkan sukan seperti olahraga, silat, ragbi dan pelayaran,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran kepada atlet bahawa walaupun ujian ditangguhkan buat masa ini berikutan PKP, pihaknya akan mengadakan ujian selepas PKP tamat dengan menyasarkan sukan dan atlet yang berisiko.

Azura turut mengingatkan atlet bahawa ujian kawalan doping boleh dijalankan pada bila-bila masa dan tidak hanya tertakluk kepada ujian semasa pertandingan sahaja, dan beliau seterusnya menggalakkan atlet menggunakan tempoh PKP untuk meningkatkan pengetahuan mereka menerusi penggunaan platform dalam talian.

“Antara program yang disaran (untuk diserta atlet) ialah Athlete Learning Program of Health and Anti-Doping (ALPHA) di platform Anti-Doping E-Learning (ADeL) yang disediakan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA),” katanya.

Sebelum ini semua atlet negara diminta mengosongkan penempatan dan dibenar pulang ke rumah masing-masing sebelum PKP dikuatkuasakan, dan mereka kini menjalani latihan sendirian di rumah, dengan bantuan jurulatih menerusi pelbagai platform secara dalam talian seperti WhatsApp dan Zoom.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen