Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) muncul juara pertama Kejohanan Golf Piala Agensi Kerajaan Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC) hari ini.

Kuartet PKNP, yang terdiri daripada Mohd Shamsuri Ishak, Ashahuddin Amin Aminuddin, Mohamed Helmi Mohamed dan Abd Karim Nast Mohd Alias, menghimpun 115 mata untuk muncul juara dan meraih hadiah wang tunai RM2,000.

Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menduduki tempat kedua dengan 109 mata untuk meraih RM1,500. Tempat ketiga dimenangi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mencatat 108 mata untuk mengatasi Universiti Teknologi Petronas (UTP) melalui kiraan semula bagi memenangi RM1,000.

Sebanyak 27 pasukan yang terdiri daripada agensi persekutuan dan negeri menyertai kejohanan yang dianjurkan kerajaan negeri itu.

Sementara itu, Mohd Shamsuri Ishak meraih kemenangan berganda apabila menjuarai kategori individu, disusuli Bakar Kamaruddin dari Pejabat Tanah dan Daerah Hilir Perak dan Nordin Yahya dari Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI) di tempat ketiga.