Pengerusi Jawatankuasa Anti Doping, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, akan memastikan kes doping melibatkan salah seorang peserta Tour de Selangor diadili tanpa prejudis sama ada dia bersatus pelumba kebangsaan mahupun tidak.

Difahamkan, pelumba terbabit mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan didapati menggunakan bahan terlarang steroid ketika perlumbaan peringkat ketiga dari Shah Alam ke Pandan Indah pada 19 Oktober lalu.

PKBM sudah pun mengeluarkan surat tunjuk sebab dan mengesahkan pelumba terbabit tidak mahu mencabar sampel B.

Amarjit menjelaskan pelumba terbabit tetap akan dipanggil untuk sesi pendengaran yang akan berlangsung pertengahan bulan depan bagi mendapatkan hujahnya.

"Dia mengatakan dia mengambil satu ubat. Saya tidak boleh berikan butiran buat masa ini tetapi apa yang boleh saya katakan bahawa pelumba itu mengatakan (mengakui) mengambil ubat dalam kejohanan tersebut.

"Ia diberikan oleh seorang doktor. Tetapi saya perlu mendapat penjelasan lanjut sebelum kami dapat membuat keputusan muktamad," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jika didapati bersalah, pelumba itu mungkin berdepan penggantungan selama empat tahun seperti yang ditetapkan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Tegas Amarjit, kes itu akan diadili dengan sewajarnya tanpa memikirkan status ataupun pencapaian pelumba berkenaan dalam arena sukan berbasikal tempatan.

"Kami layan sama rata. Kami tidak akan membuat diskriminasi, dia lebih bertanggungjawab atau dia pelumba negeri, tidak. Ia sama dan adil untuk semua atlet pada semua peringkat," ujarnya.


Rekod kes doping sukan berbasikal

2017 :
• Atlet berbasikal ATM
Bahan: Steroid
Kejohanan: Tour de Selangor 2017

2015 :
• Shah Firdaus Sahrom
Bahan: Dexamethasone
Kejohanan: Sukma Perlis 2014

2013 :
• Ahmad Fallanie Ali
Bahan: Steroid
Kejohanan: Jelajah Malaysia 2013

2009 :
• Fauzan Ahmad Lutfi
Bahan: Steroid
Kejohanan: Kejohanan Mini Olimpik 2009