Walaupun sudah melakukan pertemuan empat mata dengan Pesuruhjaya Sukan, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab, tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada menganjurkan Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) 2018.

Abu Samah yang mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pesuruhjaya Sukan, Mohd Salleh Ghazali, menyerahkan isu penganjuran kejohanan tersebut kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Walaupun sudah mendapat penjelasan mengenai Seksyen 33, Akta Pembangunan Sukan (APS) 1997, Abu Samah, bagaimanapun, mempersoalkan mengapa penganjuran kejohanan lain sebelum ini seperti Kejohanan Basikal Bukit Asia 2014 tidak perlu mendapat kebenaran KBS.

Katanya, PKBM sudah tawar hati dan sedia memberi laluan kepada Korea Selatan sebagai pengganti Malaysia.

"Saya tidak tahu sama ada wujud sebarang masalah atau tidak. Saya tidak dapat memikirkannya," kata Abu Samah.

"Jika betul timbul sebarang masalah dan menteri menyatakan penganjuran tidak mengikut peraturan dan sebagainya, kami akan menarik diri kerana kami tidak mahu menimbulkan masalah yang lebih besar."

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menegur badan induk berbasikal itu yang membuat bidaan penganjuran ACC 2018 di Ipoh tanpa memperoleh kebenarannya seperti yang termaktub dalam APS 1997.

Berdasarkan Seksyen 33, APS 1997, penganjur yang ingin membuat tawaran menjadi tuan rumah pertandingan antarabangsa perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Menteri Belia dan Sukan.

Untuk rekod, Malaysia melalui PKBM telah membida untuk menjadi tuan rumah Kejohanan ACC 2018 bersama-sama Thailand dan Korea Selatan, namun dua negara tersebut menarik diri yang membolehkan Malaysia mendapat bidaan itu.

Dalam pada itu, isu penggantungan tiga bulan terhadap pelumba lebuh raya negara, Mohd Zamri Salleh, Abu Samah menjelaskan PKBM tidak berniat merosakkan kerjaya pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG) itu.

Katanya, PKBM sedia mengurangkan hukuman jika rayuan yang dikemukakan Zamri berasas.

"Zamri mempunyai dua minggu untuk mengemukakan rayuan dan selepas dia membuat rayuan, kami akan mempertimbangkannya.

"Kami juga memikirkan tentang masa depannya tetapi apa yang kami lakukan itu sebagai peringatan."

Zamri digantung berkuat kuasa 24 Oktober lalu bagi tempoh tiga bulan selepas didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan media berhubung isu kelewatan pembayaran wang kemenangan Jelajah Malaysia 2013 meskipun sudah diberikan oleh KBS.