Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) boleh menarik nafas lega apabila jaguh trek, Azizulhasni Awang, dapat menyertai Kejohanan Dunia di Jerman, Februari depan selepas terbabit kemalangan ketika Piala Dunia di Australia minggu lalu.

PKBM cukup sensitif mengenai Azizulhasni apabila bekas juara keirin dunia 2017 itu diletakkan sebagai harapan terbaik meraih emas Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Badan induk itu sudah mendapat maklumat perubatan mengenai tahap kecederaan pelumba itu dan dia tiada masalah untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia.

Atlet kelahiran Terengganu itu akan mencabar acara keirin dan pecut bagi mengukuhkan kedudukan dalam ranking kelayakan Olimpik Tokyo.

"Kami dapat maklum balas bahawa dia dalam keadaan yang boleh beraksi untuk melakukan persiapan Olimpik di Jepun nanti. Kami yakin dia akan pulih," kata Setiausaha Agung PKBM, Datuk Ashkari Abu Noor.

Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lebih fokus terhadap saingan Sukan Olimpik Paris 2024 ekoran persaraan jaguh utama, Datuk Lee Chong Wei, selain semua pemenang pingat ketika saingan di Rio, Brazil tiga tahun lalu kini bertindak sebagai pemain profesional.

"September lalu, kami sudah bentangkan satu program yang dipanggil Projek 24, jadi ia tidak bermakna Tokyo 2020 diabaikan kerana ia adalah batu loncatan untuk saingan di Paris. Kami akan lakukan yang terbaik berbekalkan sokongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN)," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.