Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bakal "tutup kedai" jika tidak mampu menganjurkan sebarang perlumbaan pada tahun ini ataupun tahun depan disebabkan wabak COVID-19.

Menurut Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab, kedudukan badan induk itu tidak mampu bertahan tanpa menganjurkan kejohanan seperti Jelajah Semenanjung, Jelajah Femina dan Ke Tour de Langkawi (LTdL).

"Kalau ada arahan mengenai larangan mengadakan sebarang kejohanan selama dua tahun, maka kami akan minta nasihat daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

"Kalau semua kejohanan tidak boleh dianjurkan, PKBM kena tutup kedai, apa lagi yang kami ada?" katanya kepada wakil Nadi Arena, Muiz Aziz.

Bagaimanapun, Malaysia masih membida mengenai status Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Asia yang dijangka berlangsung di Putrajaya tahun depan.

Setakat ini, PKBM hanya mampu menganjurkan kejohanan berbasikal secara maya sepanjang 7 hingga 29 Ogos depan bagi memastikan pelumba-pelumba kebangsaan berada di tahap terbaik.

"Boleh dikatakan PKBM hampir muflis sebab kami bergantung kepada aktiviti.

"Tanpa aktiviti, kami tiada duit. Selepas tiga kejohanan utama tidak dapat dianjurkan, kedudukan kami memang teruk.

"Jadi mereka (adakan inisiatif kejohanan secara maya dan hanya mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM10), kalau tidak cukup sekalipun mereka tetap sanggup.

"Dari situlah (idea ini) bermula," katanya lagi.