Presiden Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF), Melvin Chia, menganggap satu pingat emas dan satu perak dalam kempen Sukan SEA Filipina menjadi bukti sukan itu aset penting Malaysia dalam saingan temasya.

Emas Malaysia hadir menerusi acara snuker berpasangan lelaki hasil gandingan Lim Kok Leong-Moh Keen Hoo.

Keen Hoo juga hampir menyumbang emas kedua sebelum tewas kerana kesilapan sendiri dalam aksi final perseorangan.

Bagi Melvin, pencapaian itu adalah hasil daripada persiapan singkat dan tanpa kehadiran kudrat berpengalaman seperti Thor Chuan Leong.

"Sebenarnya ia adalah masa depan sukan ini. Kami bekerja keras kerana mahu menghadirkan pingat. Ia tentang menang untuk negara.

"Secara individu, pemain boleh beraksi dalam saingan lain seperti Kejohanan Dunia atau Kejohanan Asia tetapi ia tidak menyumbang kepada apa yang kami miliki. Salah seorang pemain kami tidak beraksi dalam sirkit. Itu kami cuba elakkan," katanya.

"Kami tahu mereka mempunyai potensi dan ia tentang masa depan sukan ini. Dalam beberapa tahun sebelum ini, perhatian kurang diberikan dan kami bergelut."