Tarik balik pingat! Itu keputusan panel mesyuarat pengurusan keputusan dan pendengaran anti doping mengenai dua atlet yang gagal ujian bahan terlarang dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016.

Setiausaha Bahagian Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Hazally Jali, mengesahkan keputusan penarikan pingat emas atlet pencak silat dan pingat gangsa bagi atlet olahraga berkuatkuasa serta-merta.

Kedua-dua atlet ini dikesan menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine, yang lazim didapati dalam pil pelangsing.

"Kalau dalam acara silat, penarikan balik pingat emas itu bermakna pemenang pingat perak akan meraih pingat emas. Bagaimanapun, itu bermakna tiada pemenang pingat perak.

"Untuk lompat jauh pula, pemenang pingat gangsa itu akan ditarik dan diberikan kepada pemenang tempat keempat," jelasnya.

Hazally turut menjelaskan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akur dengan keputusan KPT.

Tindakan selanjutnya diserahkan kepada kedua-dua persatuan sukan kebangsaan itu bagi menentukan bentuk hukuman sejajar dengan perlembagaan ditetapkan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

"Kami perlu menarik balik pingat sepertimana yang terdapat dalam Artikel 9 dan 10 WADA.

"Artikel 9 dengan jelas mengatakan kemenangan yang dicipta oleh atlet yang didapati positif penggunaan bahan terlarang perlu ditarik balik, termasuk segala hadiah atau anugerah."

Dua atlet terbabit dikesan positif sibutramine selepas menyertai SUKIPT 2016 di Skudai, Johor, awal tahun ini. Perkara itu mula didedahkan ADAMAS dan KPT pada bulan lalu.