Pingat Anugerah Agong lonjak semangat Ju Pha 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 Jun 2020 2491
Pingat Anugerah Agong lonjak semangat Ju Pha 
Darjah Bentara Pasukan Polis (BPP) yang diterima Ju Pha Som Net melonjakkan lagi semangatnya untuk terus mengharumkan nama negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai seorang atlet serta anggota polis.

Atlet elit skuad berbasikal wanita negara berusia 27 tahun itu berkata pengurniaan darjah kepahlawanan itu amat bermakna buat dirinya.

Dia mengakui berasa gementar ketika menerima anugerah yang dikurniakan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu istiadat di Istana Negara hari ini.

“Ini kali pertama saya menerima anugerah polis dan ia sangat istimewa untuk saya kerana menerimanya daripada Yang di-Pertuan Agong. Memang saya gementar tadi, kerana persiapan pun dibuat pada minit-minit terakhir berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).




“Anugerah ini meningkatkan semangat dan motivasi saya untuk terus menabur bakti buat negara dan PDRM,” kata Lans Koperal itu ketika dihubungi Bernama.

Ju Pha, yang menjadi atlet berbasikal sejak berumur 15 tahun, telah berkhidmat sebagai anggota polis hampir empat tahun.

Dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis bagi kurniaan tahun 2019 itu, Seri Paduka turut mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, serta pesara polis berpangkat CP, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Sementara itu, Ju Pha berkata buat masa ini belum ada perancangan dan pelan yang rapi mengenai latihan dan kejohanan seterusnya berikutan impak pandemik COVID-19.

“Tahun ini saya fokus pada acara trek and sepatutnya menyertai Piala Trek Asia 2020 Oktober depan tetapi berikutan COVID-19, saya masih tidak tahu apa statusnya.

“Bagaimanapun, saya tetap meneruskan latihan sendiri sejak PKP dilaksanakan Mac lalu. Kini saya masih sedang menunggu untuk menyertai latihan pasukan kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.

Dalam kariernya sebagai atlet, Ju Pha telah mengharumkan nama negara dengan meraih sebutir pingat emas, sebutir perak, dan tiga gangsa dalam tiga edisi Kejohanan Asia dari 2014 hingga 2018.

Di peringkat Sukan SEA, beliau meraih sebutir emas, dua perak dan dua gangsa dalam edisi 2011 di Palembang hingga edisi 2017 di Kuala Lumpur, manakala acara trek tidak dipertandingkan pada edisi 2019 di Manila.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen