Bekas pemain sepak takraw negara, Hafizi Manaf, memberikan saranan agar pemilihan pemain untuk menyarung jersi negara perlu dilakukan secara telus jika benar-benar mahu menjadi pencabar terkuat untuk Sukan Asia Indonesia 2018.

Saranan Hafizi itu adalah berdasarkan keadaan skuad negara kini bergantung kepada Hanafiah Dollah, Syahir Rosdi dan Farhan Adam sebagai regu utama manakala dua regu lagi kurang memberikan impak seperti yang diharapkan.

Apatah lagi, untuk Sukan Asia 2018, Indonesia akan menggunakan kelebihan tuan rumah dengan menggugurkan acara regu dan Malaysia hanya boleh bergantung kepada acara regu berpasukan.

Dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu, Malaysia tewas kepada Indonesia 2-1.

"Pada pendapat saya, pemilihan pemain yang bakal beraksi untuk skuad negara dalam Sukan Asia memainkan peranan yang penting," kata Hafizi.

"Kualiti pemain harus dinilai secara telus kerana saingan Sukan Asia amat berbeza berbanding Sukan SEA."

Bekas pemenang pingat perak Sukan Asia 2010 itu juga menyambut baik cadangan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang akan menghantar barisan pemain ke kem latihan ala tentera untuk meningkatkan kekuatan mental dan fizikal.

PSM sebelum ini juga pernah menghantar pemain ke Lumut pada tahun 2009 untuk persediaan Piala Raja Thai 2009 dan juga Kem Saujana Asahan di Melaka untuk persediaan Sukan Asia Guangzhou 2010.

"Ia merupakan inisiatif PSM yang sangat positif dalam usaha untuk mempertingkatkan kekuatan mental pemain," ujarnya.