Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu tawar hadiah keseluruhan RM50,000

Oleh Staff Writer 6 Oktober 2016 26
Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu tawar hadiah keseluruhan RM50,000
Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stable (RTES)akan menganjurkan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu 2016 buat julung kalinya di Terengganu International Endurance Park (TIEP), bermula esok.

“Kejohanan ini adalah pentas terbaik untuk terus meletakkan nama Terengganu, sebagai lokasi penganjuran kuda lasak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Selain sesuai dijadikan persiapan menghadapi Sukan SEA 2017, kejohanan ini juga medan kepada penunggang untuk layak ke Kejohanan Ekuestrian Dunia FEI pada masa akan datang.

“Selepas kejayaan penganjuran Kejohanan Ekuestrian Dunia FEI pada 2008 di sini, serta acara tahunan Piala Sultan Mizan, Piala Yang Dipertuan Muda ini akan meneruskan kecemerlangan sukan berkuda di negeri ini,” kata Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Mempertandingkan dua kategori perlumbaan, iaitu 40km dan 80km, seramai 50 penunggang dari seluruh negara bakal berentap merebut hadiah keseluruhan sebanyak RM50,000.

“Penganjuran ini juga langkah memperkenalkan destinasi pelancongan yang terdapat di Terengganu menjelang Tahun Melawat Terengganu 2017.

“Di samping itu juga, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti merentas desa, berbasikal, sepak takraw tertutup, bola tampar tertutup, pertandingan kuda cantik dan sukan tradisional yang lain.

“Masyarakat setempat perlu mengambil peluang ini untuk menyertai aktiviti ini selain mengenali dengan lebih dekat sukan kuda lasak,” tambah Ahmad Razif.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen