MALAYSIA 5 TAIWAN 1

Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara apabila membenam Taiwan 5-1 dalam perlawanan kedua di Dewan Jubli Merdeka, Kuala Kangsar sebentar tadi.


Dengan kemenangan itu, Malaysia melonjak ke tangga teratas kejohanan lima pasukan itu dengan memintas Uzbekistan berdasarkan perbezaan jaringan yang lebih baik.

Kedua-dua pasukan yang mencatat dua kemenangan setakat ini akan bertemu dalam perlawanan pusingan awal, petang esok.

Apapun kemenangan tidak datang mudah buat anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah itu dalam perlawanan di hadapan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Malah, tuan rumah dikejutkan oleh jaringan kapten Taiwan, Lin Ting Yun, pada minit ke-15 sebelum Safiqah Mat Isa memadam defisit itu hasil pukulan sudut penalti dua minit kemudian untuk mengikat kedudukan 1-1 dalam separuh masa pertama.

Nur Aisyah Yaakob kemudian meletakkan Malaysia di hadapan hasil pukulan sudut penalti selepas empat minit saingan babak kedua berlangsung.

Tuan rumah meneruskan asakan yang menyaksikan pemain Taiwan melakukan kesilapan dalam kawasan D untuk menghadiahkan pukulan sudut penalti.

Kesempatan itu dimanfaatkan oleh Safiqah untuk meledak gol ketiga Malaysia pada minit ke-29, diikuti seminit kemudian oleh Siti Nur Arfah Mohd Noor.

Nur Atira Mohamad Ismail melengkapkan penguasaan Malaysia apabila menyumbat gol kelima untuk menceriakan kem negara.