Wakil negara, NS Matrix, menamatkan perjuangan di tempat kelima saingan Piala Seri Mutiara dengan menundukkan pasukan Hong Kong, Eastern Long Lions, 99-88 dalam satu pertarungan cukup sengit di Stadium MABA, sebentar tadi.

Selepas gagal mempertahankan kejuaraan musim lalu, wakil negara itu cuba untuk mencari penamat terbaik dalam edisi keempat kejohanan ini.

Matrix bermula perlahan apabila ketinggalan sembilan mata kepada Lions sebelum mengorak langkah untuk melakukan jaringan demi jaringan.

Ketinggalan 14-30, Matrix pantas bangkit dalam suku kedua dengan mata pertama disumbangkan Anthony Rashad Walker dan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi mantap sebelum separuh masa berakhir dengan keputusan terikat 42-42.

Matrix kemudian berjaya memimpin permainan buat kali pertama dalam suku ketiga dengan kedudukan 68-67 dan tekanan dipamerkan wakil negara itu berjaya meninggalkan Lions sebelum mengesahkan kemenangan.