Luke Donald yakin Piala Ryder yang diadakan tanpa kehadiran penonton akan memberi Eropah kelebihan berbanding Amerika Syarikat (AS).

Pertandingan dwitahunan itu akan berlangsung di Whistling Straights, Wisconsin, dari 25 hingga 27 September tahun ini.

Kejohanan golf sebahagian besarnya terhenti ketika wabak koronavirus baru (Covid-19) melanda, tetapi Jelajah PGA merancang untuk meneruskan kalendarnya bermula 11 Jun depan walaupun kejohanan-kejohanan hampir pasti akan dilangsungkan di gelanggang tertutup.

Sekiranya Piala Ryder boleh diteruskan seperti yang dirancangkan meskipun tanpa kehadiran penonton, naib ketua pasukan Eropah itu berpendapat bahawa ia boleh merugikan pasukan tuan rumah.

Ditanya jika beraksi tanpa peminat boleh memberi manfaat kepada Eropah, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata dalam podcast Sky Sports Golf: "Ia sudah pasti.

"Jelas sekali, bagi sesiapa yang menyaksikan kejohanan pertunjukan (yang melibatkan Tiger Woods, Phil Mickelson, Peyton Manning dan Tom Brady) pada hujung minggu lalu dan melihat beberapa acara lagi langsung, hanya ada empat pemain dan aksi itu kelihatan tidak begitu bertenaga.

"Saya fikir pemain kehausan tenaga, khususnya buat pasukan tuan rumah. Mereka memerlukan semangat positif dan orang ramai boleh memainkan peranan besar, sebab itulah selalunya wujud kelebihan buat pemain tuan rumah.

"Sekiranya kami beraksi dalam Piala Ryder tanpa peminat di Amerika, maka ia satu situasi yang lebih baik buat pasukan Eropah berbanding pasukan AS."